Aktiviti petang |
Selasa.
2/5/2017
Hampir genap setengah tahun teka-teki dimana penempatan suamiku bakal terjawab pada tanggal 2 Mei 2017 ini. Entah kenapa sebelum ini aku sedikit pun tidak merasa debaran penantian penempatan suamiku. Mungkin fikirku aku benar-benar bersedia menerima catitan pena Allah yang tertulis segala kebaikan buat hambanya.
Usah tanya pasal aku. Aku pula ceritanya sudah hampir setahun menunggu posting. Tapi yang diberinya cuma alasan seperti tiada kekosongan. Eh..bukankah fresh graduate tu makin ramai? Kenapa mereka lepas kami tak lepas lagi? Ya. Senioriti kami habis ditelan junior yang jauh lebih muda dan baru tamat pengajian. Salah seorang dari mereka itu adalah suamiku. Bagiku umur bukanlah penghalang kerana tanggungjawab dan kredibiliti yang ditonjolkan oleh suami jauh lebih matang jika dibandingkan dengan lelaki yang lebih berumur di luar sana.
Jadi hari ni merupakan hari penentuan penempatan suami. Termakbulkah ramalan semua yang suamiku dapat Kuantan? Daerah tercintanya ini. Debaran itu makin hangat pula rasanya hari ini jika dibanding semalam. Sementara suami di JPN menunggu keputusan penempatannya, aku cuma mampu tunggu di rumah, kemas barang yang patut untuk suami bawa ke tempat baharu. Keputusan hari inilah yang memutuskan samada kami suami isteri akan PJJ atau dapat tinggal bersama.
Walaupun dalam hati ini tidaklah menaruh segunung harapan, cuma mendoakan tempat yang terbaik dan yang paling penting, daerah penempatan suami ada bahasa cina. Bolehlah aku buat surat rayuan untuk posting sedaerah dengannya suatu hari nanti. Dengan tenangnya aku cek satu persatu barang suami, baju pengakap, songkok, seterika, hanger, bantal busuk semua dah lengkap. Siap semuanya aku letak barang-barang suami di tepi hand luggage, sengaja aku tak masukkan barang keperluannya dalam luggage, biar suami sendiri yang pilih barang mana yang dia nak bawa. Takut nanti ada yang buat berat luggage saja.
Lepas siap semua aku pun tertidur sebab keletihan ya amat. Almaklumlah hari ni bangun pagi sangat. Dah macam isteri mitahli dah aku tengok diri aku hari tu...Hehe.
Dulu lagi aku bangun dari kokokan ayam sebab nak siapkan sarapan. Nasi goreng ala-ala kampung style. Suami memang suka sangat makan nasi goreng tu. Tapi aku tak pandai nak buat supaya rasanya sama macam mak-mak kita selalu buat. Selalu terlebih garamlah, terlebih cili api..Mungkin tangan ni belum lagi taraf mak-mak jadi airnya belum sampai. Yelah suami kerja hari pertamalah katakan..Walaupun belum daftar ke sekolah lagi, tapi hari ni dah dikira sebagai hari pertama bekerja.
Isteri manalah yang tak teruja suami bekerja hari pertama? Tapi dalam hati ni rasa berat sangat pagi tu. Sebelum ni aku cukup tenang tanpa merasakan debaran penantian itu. Pagi ini rasa seperti setiap kali aku tengok kuali, aku terfikir, agaknya besok dapat tak aku sediakan sarapan untuknya lagi? Macam manalah kalau pjj ni. Siapalah yang nak jaga makan minum suami? Hmm...Tak tergambar perasaan aku pagi tu. Tapi aku tetap tersenyum. Cium tangan suami sebelum suami gerak ke JPN. Sebak rasanya. Dalam hati berbisik, dah kerja dah rupanya suami aku ni..Rasa kelakar ada, rasa tak percaya pun ada. Heee!
Tengah syok mimpi, aku terjaga sebab dengar kakngah, iaitu kakak kepada suami panggil aku turun. Rupanya dia ajak makan. Aku pun dah serba salah sebab jam dah pukul berapa tapi aku tak sedar. Ingatkan kakngah dah bersilat kat dapur sorang-sorang dengan Sara nangis semua. Aku plak turun dengan muka tebal senduk nasi je sebab semua dah siap. Fikir aku~ Rupanya kakngah dengan abang ngah ajak aku makan luar tengah hari tu. Tak cukup nafas aku siap. Mandi sepantas kilat aku hari tu sebab takut lambat. Aku kalau dengan suami memang aku tak tahulah kenapa tapi mesti lambat macam siput bila bersiap. Memang selalu kena kaw-kaw tang bab bersiap. Tapi dengan orang lain aku boleh plak cepat-cepat. Aisehmen...
Memang tak ada masa langsung nak cek fone atau pakai lipstick. Yang aku tahu aku nak cepat siap. Lepas dah siap aku pun terus berlari turun. Sampai di ruang tamu tiba-tiba ayah mertua tanya aku soalan pelik. Soalannya berkaitan Pulau Tioman. Ayah mertuaku aku gelarkannya abah. Abah tanya aku, “Sini ke Pulau Tioman berapa jam?”. Aku pun dengan selambanya jawab yang aku tak tahu. Terus aku main dengan Sara, anak kakngah ni tadi. Abah tanya aku lagi sekali “Besok nak pergi Pulau Tioman tak?”. Dalam hati aku makin pelik. Apesal abah dari tadi asik sebut pasal Pulau Tioman je ni? Ada apa dengan Pulau Tioman? Ada Rangga ka? Aku bas pukul 3 kejap lagi nak gerak balik dah.
Memang plan asalnya sementara suami baru posting ni aku balik dulu rumah mak abah aku kat kampung. Biar suami carikan rumah sewa untuk kami berdua dan selesakan diri di tempat baru, nanti barulah aku duduk dengan suami. Alhamdulillah suami izinkan aku duduk rumah mak abah dulu sementara waktu ni. Waktu ni aku memang tak tahu lagi kenapa abah tanya aku soalan pasal Pulau Tioman. Aku loading gila masa ni.
Akhirnya aku tanya abah, “Hah? Siapa nak pergi Pulau Tioman?”.
Kakngah pun menyampuk dari tepi, “Laaa..laki aok la dapat Pulau Tioman...”.
Reaksi aku normal. EH, JAP! HAH?! YEKE?? Dan semua perkataan yang cliché keluar dari mulut aku. Perasaan waktu tu macam.. “OK........Pulau Tioman ni macam mana eh?”.
Ini semua sebab aku tak cek whatsapp. Mungkin aku cek tapi aku terlepas pandang. Yelah. Beratus-ratus ws masuk hari tu. Tak tersempat den nak baca kesemuanya.
Boleh tak bayangkan tempat yang tidak pernah dicapai dek akal untuk posting. Hurmm...apa-apa pun berlaku waktu itu aku memang tak boleh nak fikir. Sebab perut aku pun dah berkeroncong. Baru lepas mandi pula tu. Dalam kepala otak ni fikir nak makan je. Macam mana punya tenang aku terima khabar ni pun aku tak tahu. Mungkin waktu tu aku masih mamai dan dalam fikiranku Pulau Tioman ni macam Pulau Pinang.
Cuma yang aku dah terdetik waktu tu, habislah. PJJ lah jawabnya ni. Opsyen aku bahasa cina memang tak mengizinkan aku untuk dapat satu daerah dengan suami. Bahasa cina ni satu opsyen baharu yang hanya dijalankan di sekolah A. Iaitu cuma sekolah di bandar sahaja yang ada matapelajaran bahasa cina.. Aku guru bahasa cina di SK. Bukan SJKC ya. Manakala sekolah yang bakal suami posting (nama sekolah dirahsiakan) adalah dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid(SKM) dan bukan dibandar . Nak dijadikan cerita suami dapat sekolah di sebuah perkampungan kecil di sana. Untuk ke kampung itu kita mestilah menaiki bot selama lebih 30 minit dari Kampung Tekek. Tiba-tiba daripada seorang yang noob tentang Pulau Tioman, sampai aku boleh study Pulau Tioman tu dalam masa kurang dari 10 saat.
Hari tu abah tak senang duduk. Terbantut selera abah..Padahal makanan kat kedai tu semua sedap-sedap. Masakan kampung merupakan makanan kegemaran abah. Siapa tak terliur dengan ulam-ulam, rebung masak gulai, ikan keli berlado. Semuanya memang boleh buat orang terangkek! Abah jadi macam ni sebab terlalu risaukan abang, suamiku. Walaupun ini bukanlah pertama kali suami berjauhan dengan famili, tapi perbezaan berjauhan kali ini merupakan sesuatu yang agak susah untuk kami semua terima.
Ini kerana kali ini suami perlu menaiki feri, dan bermain dengan laut. Siapa tak risau anaknya baik anak lelaki mahupun anak perempuan duduk tempat yang asing. Kalau dengan kereta ulang-alik Kuala Pilah-Kuantan itu sudah jadi kebiasaan. Tak jadi kebimbangan sebab semuanya jalan darat. Ini?? Kena seberang Laut China Selatan naik feri selama 2 jam. Kalau feri di Pulau Pinang yang lebih kurang 30 minit tu pun kita dah rasa lama, bayangkan kena duduk atas feri tu selama 2 jam. Tapi bagaimanapun itulah yang dinamakan, pengorbanan seorang guru. Allah lebih tahu apa yang terbaik buat hambanya.
Seusai makan tengah hari, kami pun balik rumah. Pukul 2.20 petang, abah cakap biar abah yang hantar aku ke Terminal Bas Kuantan. Sebab suami masih belum ada bayang-bayang nak balik. Dalam hati aku sedih juga sebab aku tak dapat salam tangan suami sebelum balik ni. Aku pun ambil beg. Cek barang semua jangan tertinggal. Satu persatu aku bawa turun ke bawah. Teringat terus pada suami. Sebab selalunya tugas aku cumalah kemas barang aku dan dia. Beg-beg semua suami yang akan bawa turun masukkan dalam kereta. Suami sangat memahami tugasnya. Walaupun terkenang dan rasa hiba, tapi aku gagahkan juga diri untuk buat apa yang patut aku buat. Pujuk hati supaya kuat walau tak dapat jumpa suami sebelum berpisah.
Sebelum keluar aku sempat jenguk tandas. Yelah malaslah dah dalam bas nanti tertahan-tahan. Tiba-tiba dengar orang panggil aku dengan gelaran yang cuma suamiku saja panggil dengan gelaran itu, “Tulusyiah! Jom siap-siap abang hantar pergi terminal.”Terdengar suara suami tercungap-cungap memanggil namaku. Dalam hati gembiranya tuhan je yang tahu. Yeaa abang balik juga akhirnya!
Dalam hati berbunga-bunga sangat waktu tu. Aku dapat bayangkan macam mana kuatnya suami aku pijak pedal kereta tu dari Berserah ke Sungai Isap semata-mata nak hantar aku pergi terminal. Aku dapat gambarkan berapa kali tangan kirinya hinggap di hon sebagai tanda alert sekiranya ada kereta yang menghalang jalannya. Atau aku boleh kira berapa banyak kereta yang dipotongnya semata-mata nak mengejar masa. Ok aku bukan nak bangga sebab tindakan itu sangat membahayakan, cuma dalam hidup ini kita akan rasa terharu dan dihargai bila seseorang sanggup lakukan apa saja demi kita.
Apatah lagi bilamana seseorang itu bergelar suami. Seorang manusia yang asalnya asing buat kita, tapi kini merekalah yang sanggup bersusah demi menjaga kita dunia dan akhirat. Kalau ikutkan hari ni dia tak perlu buat apa lagi dah untuk aku. Cukuplah dia cuma perlu uruskan dirinya dan bersiap untuk pergi ke Pulau Tioman. Suami perlu ada di sana besok untuk pendaftaran sebagai guru baru. Tapi dalam diri suami tetap meletakkan aku sebagai keutamaannya. Bagaimana harus aku balas segala pengorbanan ini? Sebak. Daebak kan manusia yang bergelar suami ni?
Dalam perjalanan kami berborak macam biasa. Berbicara soal gaji, soal rumah sewa, soal perancangan lepas aku pun dapat posting, semualah. Sempat lagi kami layan lagu kegemaran dan komen tentang nyanyian suami. Aku memang guru vokal tidak diiktiraf yang suami lantik sebagai pengkritik nyanyiannya. Aku dan suami buat rutin seperti selalunya kami. Memang semuanya nampak lancar waktu tu. Tapi jauh dilubuk hati aku hanya tuhan saja yang tahu. Tertanya sendiri, bagaimanalah suami aku boleh setabah ini? Sikit pun tak terpancar keluhan di wajahnya. Aku berdoa agar Tuhan permudahkan segalanya. Terutama segalanya dipermudahkan buat suami. Moga niatmu untuk mencari rezeki keluarga kita dan mendidik anak bangsa boleh kau tuai dikemudian hari.
Jam dah pukul 3. Aku tunggu bas Transnasional tak sampai-sampai lagi. Aku duduk, sempat bergurau, berselfie dan berborak dengan suami. Yang aku tahu lepas ni memang akan aku rindu nak bergurau dengannya lagi.
Sampainya bas, kaki aku tiba-tiba jadi berat nak melangkah. Kalaulah boleh aku panjangkan lagi masa agar masaku dengan suami lebih banyak berbanding sekarang ini. Alam realiti dah menjemput kami untuk berjauhan untuk jangka masa yang sangat panjang. Aku cium tangan suami. Belum sempat minta ampun maaf darinya air mata aku dah mengalir membasahi pipi. Seakan tak nak aku lepaskan genggam tangannya. Genggaman yang selama ini sentiasa erat tatkala riang dan duka. Kini cuma berteman rindu dan doa. Berjauhan dengannya umpama malam nan genting, siang nan sepi. Segalanya sudah tidak seindah seperti sediakala.
Aku tatap kelibat suami meskipun bas dah jauh meninggalkan terminal. Kuat aku genggam erat kedua belah tangan pujuk agar hati redha. Redha atas segala yang tertulis. Aku seharusnya lebih faham.
1. MENGAPA AKU DIUJI PJJ DENGAN SUAMI? (Al-Ankabut:2-3)
2. KENAPA AKU TAK DAPAT DEKAT DENGAN SUAMI?. (Al-Baqarah :216)
3. AKU TAK SANGGUP BERJAUHAN DENGAN SUAMI TERCINTA (Yusuf:12)
Paling terkesanku dengan surah AlBaqarah. Boleh jadi kamu benci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu. Boleh jadi kamu suka sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.
Aku ulang balik, Allah mengetahui sedang aku tidak mengetahui!
Macam mana memang dulu aku boleh berpegang sangat ayat ni. Aku sendiri yang share dengan mereka ayat ni. Mungkin Allah tampar aku dengan tamparan kasih sayang sebab aku dah banyak menyimpang. Lagha dengan duniawi. Uji aku balik dengan pegangan aku tu. Nak tahu sekuat mana aku yakin dengan janji Allah.
Dek keletihan, aku pun tertidur dalam bas...(semoga pembaca sabar menanti kesinambungan kisah ini)
2 comments:
tulus...arif dpt pulau tioman yek....btabah la...semoga pjj ni sekejap je yer...
Sedang kak..sedang..
#huhuhu
Post a Comment